0

Cart

Tarikh 10 Zulhijjah dalam kalendar islam mempunyai makna yang cukup besar buat seluruh umat Islam di dunia ini dimana Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban disambut oleh semua muslim.

Di samping itu, perayaan ini turut dikenali sebagai Hari Raya Haji sempena umat islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Bersempena dengan perayaan tersebut, umat islam akan melakukan ibadat korban bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah Allah SWT.

Sebagai idea untuk anda memasak stok daging segar yang ada, di sini kami kongsikan lima resipi masakan berasaskan daging.

1. Daging Singgang

Bahan-bahan

400gram daging lembu segar (potong kecil)
2 inci lengkuas (potong serong)
1 biji bawang merah 
8 biji bawang putih
2 keping asam keping
10 gram ketumbar
400ml air putih
Garam dan gula

Cara Penyediaan

  1. Tumbuk dulu biji ketumbar separuh hancur. Ketuk bawang putih. Mayang bawang merah dan hiris lengkuas.
  2. Satukan semua bahan. Letak air dan panaskan dengan api yang perlahan sehingga daging lembut. 
  3. Selepas mendidih, perasakan dengan gula dan garam. Biarkan ia mendidih sehingga betul-betul empuk.

2. Daging Masak Lada Hitam

Bahan-bahan

1/2 kg daging (potong nipis dan basuh)
2-3 biji kentang (potong ikut suka)
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 sudu makan lada hitam
3 sudu makan sos tiram
3 sudu makan cili sos
Kicap lemak manis (tuang ikut hitam mana yang kita suka)
Garam dan perasa
1 sudu makan gula
Cili masak/cili hijau, belah
Cilipadi, 5-6 tangkai
1 biji bawang besar, hiris bulat

Cara penyediaan

  1. Blend bawang putih, bawang merah, halia dan lada hitam
  2. Masukkan bahan blend dalam daging.
  3. Masukkan cili sos, sos tiram dan kicap.
  4. Gaul rata daging dan bahan.
  5. Panaskan sedikit minyak dan tumis daging tadi.
  6. Masukkan kentang.
  7. Masukkan garam, perasa dan gula.
  8. Masak hingga daging dan kentang empuk dan agak pekat (kalau daging belum empuk boleh tambahkan air).
  9. Akhir sekali, Masukkan cili padi, cili belah dan bawang hiris.

3. Daging Salai Masak Lemak Cili Api

Bahan-bahan

Daging Salai
1 kotak kecil santan
1 inci kunyit hidup
2 batang serai
1 asam keping
Segenggam Cili padi

Cara penyediaan

Blend cili, kunyit dengan sedikit air. Kemudian masak atas api beberapa minit. Masukkan daging dan biarkan mendidih. Masukkan serai dan asam keping
Masukkan sekotak santan dan sedikit air jika terlalu pekat. Masak seketika. Perasakan dengan garam dan gula. Sedia untuk dihidang bersama nasi panas.

4. Asam Pedas Daging

Bahan-bahan

1 kg daging tetel
15 hingga 20 tangkai cili kering*
Bawang merah kecik 4 biji *
Bawang putih 5 ulas*
Halia 1 inci*
Lengkuas 1 inci *
Kunyit hidup 1 inci *
Belacan 1 inci *
1 sudu kecil lada hitam *
1 sudu kecil jintan manis*
1 sudu kecil jintan putih*
1 mangkuk air asam jawa
Gula melaka (gunakan sedikit sahaja supaya tidak terlalu manis)
Garam secukupnya
Daun limau purut (buang tulang tengah)
3 batang serai ketuk

Cara Penyediaan

  1. Cili kering, jintan & lada hitam direndam dalam air panas.
  2. Kisar bahan – bahan yang bertanda * sehingga halus.
  3. Panaskan minyak dan tumis bahan – bahan yang di kisar tadi sampai garing.
  4. Masukkan daging tetel, masak sampai keluar air daging.
  5. Masukkan air asam jawa, serai yang diketuk dan daun limau purut.
  6. Rasakan dengan garam dan gula melaka. Masak sehingga daging menjadi empuk.

5. Sambal Daging

Bahan-bahan

600 g daging – hiris nipis
5 sdm cili kering kisar
1 cawan air
Garam
Serbuk Perasa
1 inci halia
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar

 

Cara penyediaan

  1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bahan tumbuk hingga wangi dan kekuningan.
  2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak dan agak garing.
  3. Masukkan daging, kacau supaya daging bersalut dengan sambal. (Guna api sederhana besar). Selepas 2 atau 3 minit, daging akan mengeluarkan air.Masak hingga air daging kering.
  4. Masukkan secawan air. Kacau rata. Bila kuah mendidih, kecilkan api dan tutup periuk. Biarkan daging mereneh hingga kuahnya pekat dan daging empuk. (Jika daging masih kurang empuk, boleh ditambah secawan air lagi dan biarkan mereneh dgn api yang perlahan).
  5. Masukkan garam dan serbuk perasa. Kacau rata.
  6. Tutup api dan hidangkan.
Sekiranya bukan pada musim raya korban pula, Raudhah Grocer ada menjual daging lembu segar. Jom ke Raudhah Grocer, jika mahu beli daging segar yang dilapah terus mengikut kuantiti yang anda mahu. 

Leave a Reply