0

Cart

PUCHONG – Setiap pengguna berpeluang menjadi pemilik Malakat Grocer 812 yang mula dibuka hari ini di Taman Putra Perdana Puchong.

Peluang itu dapat dicapai sekiranya pengguna mendaftar sebagai ahli dan mencarum sebanyak RM100 sebulan melalui Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

Ketua Pegawai Eksekutif KoPPIM yang juga Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, Malakat Grocer 812 merupakan satu lagi projek berimpak tinggi selepas Malakat Mall di Cyberjaya yang bertujuan menyatukan kuasa ekonomi umat Islam secara berpusat.

“Seperti Malakat Mall, Malakat Grocer 812 juga memberi peluang kepada orang ramai untuk berbelanja dan menjadi ‘pemilik’ bersama melalui pelaburan konsisten sebagai ahli KoPPIM.

Dengan caruman sebanyak RM100 sebulan, dana ahli dilaburkan ke beberapa Projek Berimpak Tinggi terpilih, demi membawa manfaat besar buat ahli KoPPIM dengan matlamat membina Ekosistem Baharu Ekonomi Islam, “katanya.

Menurutnya Malakat Grocer 812 di Taman Putra Perdana yang berlokasi di Lingkaran Putra Perdana Off Jalan Putra Perdana 5C, itu menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan bumiputera khususnya usahawan muslim memasarkan produk mereka dalam komuniti setempat.

“Kami mengajak penduduk khususnya di Taman Putra Perdana untuk berbelanja di Malakat Grocer 812 dan menjadi sebahagian pemilik melalui pemilikan saham KoPPIM, supaya setiap sen yang dibelanjakan dapat dimanfaatkan melalui agihan keuntungan,”katanya.

Katanya KoPPIM menyasarkan untuk mewujudkan 100 Malakat Mall dan 5000 Malakat Grocer 812 dalam tempoh 10 tahun, yang boleh dicapai daripada 1 juta ahli berdaftar dengan caruman RM100 sebulan.

Tarikan utama di premis perniagaan ini adalah produk-produk keluaran usahawan kecil dan sederhana bumiputera dan muslim sepertimana yang terdapat di Malakat Grocer, Cyberjaya.

Selain pelbagai barangan keperluan harian, pasar raya yang beroperasi setiap hari bermula dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam itu turut menawarkan dua kiosk makanan popular dari Malakat Mall iaitu Bunch-Oh 812 dan jenama minuman bubble tea, Tea Amo.

Bersempena Majlis Pembukaan Malakat Grocer 812, pelbagai potongan harga istimewa termasuk ayam segar setengah ekor pada harga RM4.99; ikan Pelaling (50 sen seekor); bawang merah (RM1.65 sekilogram); ikan bilis (RM2 per 100 gram); bawang putih (RM2.85 per kg) dan ubi kentang (RM1.80 per kg).

Bantuan Subsidi Makanan Fakir Miskin di Malakat Grocer 812 Putra Perdana Puchong

Malakat Grocer 812 Taman Putra Perdana memperkenalkan Program Bantuan Makanan Fakir Miskin khusus buat keluarga B40 yang berkelayakan.

Program ini memberi peluang kepada keluarga terpilih untuk membeli barangan makanan asas di Malakat Grocer 812 Taman Putra Perdana pada harga subsidi.

Insentif yang pertama kali diperkenalkan dan merupakan salah satu program khidmat masyarakat khusus untuk warga TamanPutra Perdana.

Seiring matlamat untuk menubuhkan 100 Malakat Grocer 812 dalam tempoh 3 bulan mendatang, semakin banyak golongan fakir miskin yang dapat dibantu.

Lebih banyak Malakat Grocer 812, lebih banyak golongan fakir miskin dapat dibantu!

Untuk memohon bantuan subsidi makanan, pengguna boleh mengisi borang melalui link
https://bit.ly/B40PutraPerdana

Leave a Reply