0

Cart

Menjalani tanggungjawan sebagai seorang wanita berkerjaya dan pada masa sama bergelar ibu dan isteri bukanlah sesuatu yang mudah. Kalau di pejabat jari-jemari tekun mengetuk papan kekunci, di rumah pula perlu bertukang di dapur.

Masa pula umpama emas, serba serbi perlu yang mudah dan ringkas..jadi untuk membantu wanita-wanita di luar sana lebih mudah menguruskan tugasan harian, mungkin boleh cuba resepi mudah dan ringkas untuk dihidangkan kepada suami dan anak-anak tersayang!

1. Masak lemak labu

Bahan bahan :
500 gram labu kuning – potong ikut saiz bersesuaian
2 cawan santan pekat
1 cawan air
1 labu bawang besar, dihiris
2 biji cili merah, dihiris
2 sudu besar udang kering atau ikan bilis
Garam secukup rasa
Daun kunyit
Sedikit serbuk kunyit
2 batang serai, diketuk
Sedikit lada hitam,

Cara masak :
1. Masukkan semua bahan kecuali santan, cili merah dan daun kunyit ke dalam periuk. Rebuskan hingga labu lembut.
2. Apabila sudah mendidih dan labu lembut, masukkan santan, cili merah, daun kunyit dan serbuk lada hitam.
3. Masakkan hingga mendidih sekali lagi. Apabila sudah mendidih, tutup api dan hidangkan.

2. Telur masak kicap

Bahan bahan :
5 biji telur
1 biji bawang besar, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
1 biji cili merah, dihiris
1 biji cili hijau, dihiris
1 sudu sos tiram
1 cawan air
4 sudu kicap lemak manis

Cara masak :
1. Masak telur menjadi telur goreng mata kerbau, toskan. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau.
3. Masukkan sos tiram, cili merah dan hijau. Kacau rata dan masukkan air. Biar mendidih.
4. Masukkan kicap, kacau dan masukkan telur mata kerbau, kacau perlahan.
5. Masak dengan api kecil.
6. Masak sekejap, tutup api.
7. Hidangkan Telur Masak Kicap bersama nasi hangat atau bubur.

3. Ayam goreng kunyit

Bahan bahan :
700 gram dada ayam – potong kecil
1/2 sudu besar garam
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar tepung jagung
1 batang karot
1 ikat kacang panjang
1 biji bawang besar Holland
1-2 tangkai cili merah

Cara masak:
1. Lumur ayam dengan garam kunyit rata rata. Kemudian masukkan tepung jagung dan gaul rata.
2. Potong sayur sayuran, bawang Holland dan cili merah dan toskan.
3. Panaskan minyak yang banyak dan panas, goreng secara deep fry sehingga ayam masak keemasan. Nota: Minyak mesti banyak hingga ayam tenggelam, baru ayam akan garing.
4. Masukkan sayuran dan kacau sehingga sayuran hampir lembut. Angkatkan sekali dengan ayam tadi. Toskan minyak.
5. Sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih panas panas bersama telur mata dan sambal cili merah. Tuangkan kicap manis.

4. Sup ikan merah

Bahan bahan:
1 ekor Ikan Merah
3 ulas bawang merah – hiris
2 ulas bawang putih – hiris
1/2 inci halia – hiris kasar
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 biji ubi kentang – jika suka
1 batang karot – hiris nipis
1 sudu lada hitam – tumbuk kasar
1-2 sudu kecil perasa
Garam – jika perlu
Daun sup / daun bawang
Bawang goreng

Cara masak :
1. Panaskan minyak dan tumis halia, bawang merah, bawang putih yang dihiris bersama kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga naik bau.
2. Masukkan air secukupnya. Masukkan ubi kentang dan karot dan masak sehingga hampir lembut.
3. Kemudian masukkan ikan, garam, lada hitam dan perasa.
4. Setelah kentang empuk, taburkan daun bawang dan tutup api. Sebelum dihidangkan, tabur bawang goreng.

5. Sayur campur sos tiram

Bahan-bahan :
1 biji bawang merah dihiris
1 biji bawang putih dihiris
1 biji cili merah dihiris menyerong
4-5 ekor udang
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil tepung jagung campur dgn sedikit air
Sayur-sayuran ikut suka (brokoli, lobak, putik jagung, bunga kobis, sawi, cendawan)
Air dan garam secukup rasa

Cara masak :
1. Tumis bawang hingga kekuningan dan masukkan udang.
2. Masukkan sayuran yang agak keras, kacau dan masukkan sos tiram.
3. Masukkan air tepung jagung. Kacau rata dan masukkan sayur lembut.
4. Perasakan dengan garam. Kacau rata dan bolehlah diangkat.

Sebenarnya bukan susah pun nak masak dengan cepat dan mudah..cuma perlu pastikan semua bahan-bahan basah ini perlu sentiasa ada di dalam simpanan..kalau tak ada, jomlah berbelanja di Raudhah Grocer!

Kalau tak sempat nak mai, jom order di Raudhah Grocer secara dalam talian, kami pi hantaq barang yang anda perlu!

Leave a Reply